Untuk persediaan terakhir, beberapa topik telah saya catat di bawah.
KARANGAN:
Dimensi Negara
-Pelancongan
-Perpaduan
- Khidmat Negara
Dimensi Global
- Pemanasan global
Dimensi Pendidikan
- Kecemerlangan pelajar/Sekolah
Dimensi Individu
- Hiburan dan Remaja
Dimensi Warisan
- Permainan Tradisional
KOMSAS
Cerpen
- Lambaian Malar Hijau
- Virus Zel untuk Abah
- Annyss Sophillea
Prosa Klasik
- Pertarungan Tuah dengan Jebat
Sajak
- Anak Laut
- Jalan-jalan Raya Kotaku
KAJIAN NOVEL
- Kritikan Sosial/Masyarakat
- Kepincangan Masyarakat
- Kepentingan Gaya Bahasa/Teknik Penceritaan
- Jenis-jenis watak - watak bulat; watak bundar;watak pipih
- Teknik penceritaan - saspens; kejutan; monolog dalaman, dsb
- Nilai tanggungjawab (2 novel)
PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA
Membina Ayat
- Kata ganda (sajak/berimbuhan)
Menukarkan Ayat
- Ayat biasa kepada ayat songsang
- Ayat cakap ajak kepada ayat cakap pindah
- Ayat majmuk (gabungan; pancangan; campuran)
Menganalisis Ayat
- Golongan Kata
Selamat Maju Jaya!
Soalan 1: Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang strategi-strategi bagi memajukan industri pelancongan negara dan matlamatnya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Seiring dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk merealisasikan Wawasan 2020, pelancongan menjadi agenda utama negara. Pembangunan yang begitu pesat ini menjadi kemegahan bagi sesebuah negara maju. Kemajuan industri pelancongan ternyata mempunyai masa depan yang cerah kerana banyak usaha yang boleh dirancang bagi membangunkan industri ini. Kita berasa amat bersyukur kerana Malaysia sebuah negara yang indah dan kaya dengan destinasi pelancongan mampu menjadi daya tarikan pelancong, antaranya termasuklah Pulau Tioman, Pulau Langkawi, dan Pulau Redang. zSeperti yang kita sedia maklum, pihak kerajaan telah mengambil pelbagai langkah efektif untuk memajukan industri pelancongan dengan mewujudkan kementerian khusus yang mengendalikan sektor pelancongan, iaitu Kementerian Pelancongan.
Bagi menarik minat pelancong, kerajaan dengan kerjasama pihak swasta membaik pulih dan menambah infrastruktur di destinasi-destinasi pelancongan. Contohnya, perkhidmatan pengangkutan udara, hotel-hotel, tempat penginapan, dan kemudahan asas telah disediakan dengan baik dan teliti. Namun, kita berasa kesal apabila mendapati sesetengah pengusaha hotel menaikkan kadar sewa sewenang-wenangnya sehinggakan mengurangkan minat pelancong asing untuk melawat ke Malaysia dalam tempoh yang lama. Di samping itu, pihak kerajaan memastikan flora dan fauna dimajukan dan dikekalkan bagi memajukan ekopelancongan dalam jangka masa panjang. Hutan-¬hutan tropika di negara kita meliputi dua per tiga daripada keluasan peta Malaysia. Kerajaan tidak menolak pembangunan. Oleh sebab itu, beberapa buah kawasan hutan telah diwartakan sebagai Taman Negara, yang bukan sahaja berfaedah bagi rakyat tempatan, tetapi berfaedah untuk industri pelancongan.
Selain itu, taraf hidup penduduk di kawasan tumpuan pelancong telah ditingkatkan dengan memberikan sumbangan wang dan khidmat nasihat kepada mereka. Hal ini demikian kerena kajian menunjukkan kemusnahan alam sekitar berpunca daripada kedaifan penduduk setempat yang mengamalkan cara hidup yang konservatif. Media massa seperti televisyen dan Internet merupakan wahana yang dapat mempergiat industri pelancongan di Malaysia kerana peranannya sebagai propaganda untuk mempromosikan kelebihan destinasi pelancongan di Malaysia. Karnival pelancongan turut dianjurkan dari semasa ke semasa bagi memberikan penerangan kepada pelancong asing supaya lebih memahami dan menghayati budaya dan adat resam setempat. Langkah ini penting bagi menghapuskan jurang perbezaan dan seterusnya melahirkan persefahaman antara pelawat dengan penduduk setempat.
Secara keseluruhannya, semua rakyat Malaysia perlu bersama-sama menggembleng tenaga bagi memberikan gambaran dan imej yang baik kepada pelancong asing. Hanya dengan itulah negara kita akan terus menjurus ke arah kemajuan dengan faedahnya dinikmati oleh penduduk setempat selain menyajikan kepuasan kepada pelancong. Sikap sesetengah masyarakat yang hanya menjadi penonton, dengan tidak mahu turut serta dalam menggiatkan industri ini perlulah dikikis.
Malah ada yang beranggapan negatif dengan mengatakan kedatangan pelacong boleh membobrokkan budaya rakyat tempatan. Apa-apa juga alasan yang diberikan, kita mempunyai keyakinan bahawa industri pelancongan perlu dimajukan. Sesungguhnya langkah kerajaan mengadakan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2007 pasti akan merancakkan industri pelancongan negara lagi.
(Dipetik dan diubah suai daripada
‘Langkah-langkah Membangunkan Industri Pelancongan di Malaysia’,
Dewan Siswa, Januari 2007)
BEDAH SIASAT JAWAPAN PELAJAR
SOALAN 1: RINGKASAN
1.0 Pendahuluan
Jawapan Pelajar:
Petikan membincang tentang strategi-strategi untuk memajukan industri perlancongan negara dan matlamatnya. [1m]
PENDAHULUAN
= PETIKAN INI MENYATAKAN + TUGASAN TERSURAT + TEMA PETIKAN
Petikan menyatakan usaha-usaha yang dijalankan demi merancakkan industri pelancongan negara. [2m]
2.0 Isi tersurat (strategi-strategi):
ISI TERSURAT = SUBJEK + UNSUR 1 + UNSUR 2
2.1 Seperti yang kita sedia maklum, pihak kerajaan telah mengambil pelbagai langkah efektif untuk memajukan industri pelancongan dengan mewujudkan kementerian khusus yang mengendalikan sektor pelancongan, iaitu Kementerian Pelancongan.
Skema Jawapan:
Kerajaan | mewujudkan Kementerian Pelancongan | untuk mengendalikan sektor pelancongan. [2m]
Kepincangan Jawapan Pelajar:
Kementerian khusus kerajaan wujudkan untuk memajukan industri pelancongan. [0m]
2.2 Bagi menarik minat pelancong, kerajaan dengan kerjasama pihak swasta membaik pulih dan menambah infrastruktur di destinasi-destinasi pelancongan.
Skema Jawapan:
Kerajaan dan pihak swasta | membaik pulih dan menambah infrastruktur | di destinasi-destinasi pelancongan. [2m]
Kepincangan Jawapan Pelajar:
Kerajaan dengan kerjasama pihak swasta perlu membaik pulih dan menambah infrastruktur di destinasi-destinasi pelancongan. [0m]
2.3 Di samping itu, pihak kerajaan memastikan flora dan fauna dimajukan dan dikekalkan bagi memajukan ekopelancongan dalam jangka masa panjang
Skema Jawapan:
Kerajaan | memastikan flora dan fauna dimajukan dan dikekalkan | demi memajukan ekopelancongan. [2m]
Kepincangan Jawapan Pelajar:
Flora dan fauna dimajukan dan dikekalkan. [1m]
2.4 Oleh sebab itu, beberapa buah kawasan hutan telah diwartakan sebagai Taman Negara, yang bukan sahaja berfaedah bagi rakyat tempatan, tetapi berfaedah untuk industri pelancongan.
Skema Jawapan:
Kawasan hutan | telah diwartakan | sebagai Taman Negara. [2m]]
Kepincangan Jawapan Pelajar
Demi faedah rakyat tempatan dan industri pelancongan, kerajaan telah mewartakan beberapa buah kawasan hutan sebagai Taman Negara. [2m]
2.5 Selain itu, taraf hidup penduduk di kawasan tumpuan pelancong telah ditingkatkan
dengan memberikan sumbangan wang dan khidmat nasihat kepada mereka.
Skema Jawapan:
Taraf kehidupan penduduk | di kawasan tumpuan pelancong | telah ditingkatkan. [2m]
Kepincangan Jawapan Pelajar:
Sumbangan wang dan khidmat nasihat diberikan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. [0m]
2.6 Media massa seperti televisyen dan Internet merupakan wahana yang dapat mempergiat industri pelancongan di Malaysia kerana peranannya sebagai propaganda untuk mempromosikan kelebihan destinasi pelancongan di Malaysia.
Skema Jawapan:
Media massa | mempromosikan kelebihan destinasi pelancongan | di Malaysia. [2m]
Kepincangan Jawapan Pelajar:
Media massa merupakan wahana yang dapat mempergiat industri pelancongan di Malaysia kerana peranannya sebagai propaganda untuk mempromosikan kelebihan destinasi pelancongan di Malaysia. [2m]
2.7 Karnival pelancongan turut dianjurkan dari semasa ke semasa bagi memberikan penerangan kepada pelancong asing supaya lebih memahami dan menghayati budaya dan adat resam setempat.
Skema Jawapan:
Karnival pelancongan | turut dianjurkan dari semasa ke semasa | untuk penerangan kepada pelancong asing. [2m]
Kepincangan Jawapan Pelajar:
Pameran pelancongan turut diadakan dari semasa ke semasa. [1m]
2.9 Secara keseluruhannya, semua rakyat Malaysia perlu bersama-sama menggembleng tenaga bagi memberikan gambaran dan imej yang baik kepada pelancong asing.
Skema Jawapan:
Rakyat | peru bekerjasama untuk memberikan gambaran dan imej yang baik | kepada pelancong asing. [2m]
Kepincangan Jawapan Pelajar:
Semua rakyat Malaysia perlu bersama-sama menggembleng tenaga bagi memberikan gambaran dan imej yang baik kepada pelancong asing. [2m]
2.9.1 Sesungguhnya langkah kerajaan mengadakan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2007 pasti akan merancakkan industri pelancongan negara lagi.
Skema Jawapan:
Kerajaan | mengadakan Kempen Tahun Melawat Malaysia | demi merancakkan industri ini lagi. [2m]
Kepincangan Jawapan Pelajar:
Sesungguhnya langkah kerajaan mengadakan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2007 pasti akan merancakkan industri pelancongan negara lagi.
2.0 Isi tersirat (matlamatnya):
ISI TERSIRAT = SUBJEK + UNSUR 1 + UNSUR 2
Skema Jawapan:
3.1 Kerajaan | menjana pendapatan untuk negara | menerusi kemasukan pelancong asing. [2m]
3.2 Industri ini | dapat mengurangkan kadar pengangguran | dengan mewujudkan peluang pekerjaan. [2m]
Kepincangan Jawapan Pelajar:
Antara matlamatnya ialah demi memperbanyakkan peluang pekerjaan bagi penduduk setempat. [2m] Selain itu, industri pelancongan dapat memperkenalkan budaya rakyat tempat kepada pelancong asing. [0m]
3.0 Penutup:
PENUTUP = CADANGAN + AGAR/SUPAYA + HARAPAN
Skema Jawapan:
Kita perlu menyambut baik usaha kerajaan menggalakkan industri pelancongan | agar dapat memantapkan ekonomi negara. [2m]
Kepincangan Jawapan Pelajar:
Contoh 1:
Kesimpulannya, industri pelancongan merupakan salah satu sektor yang berkemampuan. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagi memajukan sektor tersebut. Dengan ini, nama Malaysia akan diketahui pada mata dunia. [0m]
Contoh 2:
Kesimpulannya, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk memajukan industri pelancongan agar menyumbangkan pendapatan kepada ekonomi negara. [0m]
JAWAPAN LENGKAP
Petikan menyatakan usaha-usaha yang dijalankan demi merancakkan industri pelancongan negara.
Kerajaan mewujudkan Kementerian Pelancongan untuk mengendalikan sektor pelancongan. Kerajaan dan pihak swasta membaik pulih dan menambah infrastruktur di destinasi-destinasi pelancongan. Kerajaan memastikan flora dan fauna dimajukan dan dikekalkan demi memajukan ekopelancongan. Media massa pula mempromosikan kelebihan destinasi pelancongan di Malaysia. Karnival pelancongan turut dianjurkan dari semasa ke semasa untuk penerangan kepada pelancong asing. Kerajaan mengadakan Kempen Tahun Melawat Malaysia demi merancakkan industri ini lagi.
Kerajaan bermatlamat untuk menjana pendapatan demi negara menerusi kemasukan pelancong asing. Kerajaan juga bertujuan untuk mengurangkan kadar pengangguran dengan mewujudkan peluang pekerjaan.
Oleh itu, kita perlu menyambut baik usaha kerajaan menggalakkan industri pelancongan agar dapat memantapkan ekonomi negara.
[112 patah perkataan]
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan